02 July 2009
Apa cerita PPSMI?
Beginilah, pada pandangan saya, Kementerian Pelajaran Malaysia baik Menteri mahupun Timbalan Menteri tak usahlah mengarut. Kalau sudah majoriti rakyat tidak bersetuju dengan PPSMI, lebih baik tak payahlah dasar ini dilaksanakan. Hendak persidangan meja bulat apa lagi ? Bukankah kita hanya membuang masa dan wang rakyat untuk bersidang, mengkaji semula, menilai dan bagai-bagai lagi. Kerana mahu rakyat menguasai bahasa Inggeris jangan korbankan prestasi sains dan metematik.
Kalau dikatakan pencapaian matematik dan sains dalam UPSR meningkat kerana PELAJAR-PELAJAR MENJAWAB DALAM BAHASA INGGERIS, hal inilah yang saya selaku ibubapa hendak tanya. Betulkah anak-anak itu menjawab dalam bahasa Inggeris ? Anak-anak di mana, anak-anak siapa ? Atau soalan-soalan matematik dan sains UPSR, masih dwi bahasa dan oleh kerana dwi bahasa, ramai guru-guru yang mengajar matematik dan sains dalam bahasa Melayu ? Memberi reaksi kepada persoalan saya ini mesti telus. Jangan jadi seperti Nazri Aziz dalam kes hakim, dipecat katanya disuruh letak jawatan, lepas itu mengaku silap. Dah menyentuh kredibiliti tapi tak nak minta maaf pulak.
Kembalilah kepada jati diri kita, bahasa Melayu. Bahasa Melayu telah terbukti sebagai bahasa lingua franca dan bahasa ilmu zaman berzaman.
Untuk mengatasi kelemahan Bahasa Inggeris bukan melalui PPSMI. Mengarut ! Kenapa saya kata mengarut ? Hendak memperbaiki kelemahan bahasa Inggeris, akibatnya sains, matetematik dan bahasa Inggeris yang hancur. Yang bagusnya analisa, semuanya berjaya. Tidakkah mengarut namanya tu. Realistiklah sedikit. Kaji balik sistem pembelajaran, pengajaran dan penilaian bahasa Inggeris di sekolah-sekolah.
Pada pemerhatian saya, kandungan sukatan pelajaran BI dan kandungan buku teks, cantik dan sangat baik. Masalah yang saya nampak ialah sistem penilaian yang mengakibatkan pengajaran cikgu-cikgu menjadi huru-hara dan tiada fokus. Mencari A,A,A,A,A. Apakah A atau B itu memberi makna penguasaan berbahasa Inggeris yang sebenarnya ? Tolong jawab.
Saya bimbang cikgu-cikgu tidak ajar bahasa Inggeris untuk tujuan berkomunikasi atau melahirkan idea tetapi melatih macam burung tiong untuk menjawab soalan bagi mencapai target A. Dan cikgu-cikgu bahasa Inggeris di sekolah juga sibuk digesa habiskan sukatan, habiskan sukatan atau buat apa sahaja, janji A. Lihat…matlamat pengajaran bahasa Inggeris telah tersesat jauh!
Akibat dari kesesatan itu, inilah hasilnya, anak-anak Malaysia khususnya yang tinggal di luar bandar, belajar bahasa Inggeris 11 tahun tapi tetap tidak pandai berbahasa Inggeris. Bodoh benar mereka ? Di mana silapnya ini.? Adakah semua guru bahasa Inggeris tidak pandai mengajar kerana semua ini berlaku di seluruh negara !?
Cuba ubah sistem penilaian yang lebih mengukur penguasaan perbendaharaan kata yang kaya dan lepas itu latih dan uji mereka menyampaikan idea dalam lisan terutamanya dan tulisan, biarkan dulu perkara teknikal bahasa seperti ejaan dan tatabahasa. Uji mereka secara rasmi dalam bentuk oral dahulu. Ukurkan dua aspek itu dulu. Setelah mereka kuasai perbendaharaan kata dan aspek keupayaan penyampaian idea, mereka akan mempunyai keyakinan diri yang cukup tinggi dalam bahasa Inggeris dan di tingkatan tiga atau empat contohnya barulah ajar aspek teknikal bahasa.
Memberi keyakinan untuk berbahasa terlebih dahulu adalah sangat penting. Jangan samakan pelajar sekarang dengan pelajar dahulu. Dahulu sekolah ada dua aliran. Pelajar yang masuk ke aliran bahasa Inggeris adalah pelajar terpilih atau melalui kelas-kelas peralihan terlebih dahulu. Dan apabila mereka berada di sekolah aliran bahasa Inggeris suasana bahasa Inggeris telah wujud di sekolah-sekolah tersebut. Sekarang ?
Ingat kita bukan perlu melahirkan semua pelajar Malaysia dari segenap kampung dan desa, bandar dan kota menjadi pakar bahasa Inggeris, kita mahu mereka menguasai ilmu dan menguasai komunikasi melalui bahasa inggeris. Itu matlamat kita. Saya masih ingat sewaktu peristiwa Highland Tower, pakar terowong Jepun sudah tentu seorang jurutera bercakap bahasa Inggeris yang sangat teruk tatabahasanya sewaktu ditemuramah TV3, tapi apa yang dia mahu katakan semua orang faham.
Dan kajilah juga sedikit psikologi pelajar-pelajar bangsa Melayu yang pemalu. Sebab itu, persoalan yang boleh memalukan dan menyusahkan mereka dalam belajar bahasa Inggeris, menyebabkan mereka rasa rendah diri perlu dihapuskan. Dah nak buat macam mana mereka dilahirkan sebagai bangsa lemah lembut, sopan, tidak jenis selamba dan pemalu. Semuanya itu sifat positif jika kita pandai menguruskan psikologi mereka. Jangan salahkan mereka.
Hanya itu pandangan saya tetapi siapalah saya berbanding para pakar di Kementerian Pelajaran Malaysia. Mereka pasti akan bertanya "siapa anda ??" Saya hanya lulusan sekolah atap je ! http://garamlada.blogspot.com
Sumber : tranungkite.net
Wallahu' alam
Adab- adab seorang penuntut Ilmu
Mudah2an kita semua sentiasa diampuni Allah , dirahmati Allah dan diberi petunjuk oleh Allah .
Segala puji dan syukur kpd Allah yang telah menyampaikan Al-Quran kpd Nabi Muhammad S.A.W. , dan daripada Nabi Muhammad, dan beliau menyampaikan pula Al-Quran kpd para sahabat tanpa sebarang khilaf, para sahabat menyampaikan pula Al-Quran dan Hadis kpd para pengikut, para imam2, ulama2 dan seterusnya kpd para pendakwah2. Selawat dan salam keatas kekasih Allah dan Tn Guru kepada semua umat Islam didunia, Rasulullah S.A.W., kaum keluarganya dan sahabat2nya.
Saya bukanlah Ustaz atau Ustazah atau orang yg menuntut ilmu agama secara formal. Sekadar yg saya sampaikan ini adalah petikan daripada buku "Bidayatul Hidayah" tulisan Al-Imam HijjatulIslam Al-Ghazali r.a . Adapun adab-adab seorang murid terhadap gurunya maka iaitu:
• Apabila menemui gurunya maka hendaklah ia memberi salam kepadanya terlebih dahulu
• Jgn membanyakkan bercakap-cakap di hadapan gurunya
• Jangan ia bercakap-cakap sebelum gurunya bertanya kepadanya.
• Jangan ia bertanya kepada gurunya sebelum ia meminta izin.
• Jangan ia menyangkal (menunjukkan rasa tidak puas hati) terhadap perkataan gurunya seperti ia berkata sipulan itu menyalahi akan yang engkau kata itu.
• Jangan ia mengisyaratkan kepada gurunya dengan menyalahi pendapatnya maka ia menyangka bahawa ia lebih mengetahui daripada gurunya.
• Jangan ia berbisik dengan orang yang duduk ditepinya ketika gurunya memberikan pelajaran.
• Jangan ia berpaling ke kiri dan ke kanan di hadapan gurunya tetapi hendaklah ia menundukkan kepalanya dengan penuh tenang lagi beradab seolah-olah dia sedang sembahyang.
• Jangan ia membanyakkan soalan kepada gurunya ketika ia letih.
• Apabila gurunya berdiri hendaklah ia berdiri untuk menghormatinya.
• Jangan mengikuti gurunya dengan perkataan atau soalan ketika ia bangkit dari majlisnya.
• Jangan bertanya kepada gurunya di tengah jalan sehingga ia sampai ke rumahnya atau ke tempat duduknya.
• Jangan jahat sangka terhadap gurunya apabila ia melihat gurunya mengerjakan sesuatu pekerjaan yang pada zahirnya menyalahi ilmunya (bukan menyalahi agama) maka gurunya itu adalah lebih mengetahui dengan rahsia segala perbuatannya dalam hal ini hedaklah ia mengingati akan perkataan nabi Musa A.S. bagi Nabi Khidhir A.S. seperti yang disebutkan dalam Al-Quran Surah Al-Kahfi ayat 71 yang maksunya:
"Berkata (Nabi Musa kepada Nabi Khidhir): Apakah engkau rosakkan kapal ini untuk engkau menenggelamkan semua penumpangnya. Sesungguhnya engkau telah melakukan satu perbuatan yang mungkar."
Maka hendaklah ia mengingati bahawa sebenarnya dia yang tersalah pada keingkaran itu. Kerana ia hanya memandang hukum yang zahir pada sisinya sahaja.
Cintailah ilmu terutamanya ilmu akhirat, atau sekurang2nya cintailah orang yang cintakan ilmu agama dan janganlah berburuk sangka dgn mereka. Sesungguhnya apa yg mereka buat adalah antara mereka dgn Allah, apa yg penting adakah kita sendiri sudah amat hampir dgn Allah lebih dari para ustaz/ustazah/ulama ?
Sesungguhnya bala paling besar utk seseorang manusia itu ialah apabila Allah tutup mata hati daripada menerima petunjuk dan hidayah Allah, dan akhirnya semakin jauh daripada Allah. Saya mohon pembaca agar mendo'akan saya dan semua pembaca supaya sentiasa mendapat petunjuk dari Allah dan dilindungi dari kemurkaanNya.
Kepada pelajar yang membaca artikel ini, ambillah ianya sebagai sedikit panduan untuk kita mengamalkannya . Mudah-mudahan apa yang dipraktikkan nanti akan lebih membawa erti yang sebenar dalam pendidikan.
Maaf, jika ada yg terasa.
Wallah hu'alam.